KUALA LUMPUR: Selepas lebih sebulan, Sabah kembali mencatatkan angka jangkitan baharu COVID-19 di bawah paras 1,000 hari ini dengan 796 kes baharu direkodkan, penurunan 380 kes berbanding semalam.

15 daerah mencatatkan penurunan kes baharu dengan beberapa daerah merekodkan angka penurunan yang banyak.

Antaranya Kota Kinabalu (-179 kes), Penampang (-78 kes), Tenom (-25 kes) dan Tuaran (-24 kes).

Hanya lapan daerah mencatatkan peningkatan kes dan empat lagi daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

Sementara itu tiga kluster diisytihar tamat dengan dua daripadanya melibatkan kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Jalan Taman Beringin, Kota Marudu dan Kluster Madai Dua, Kunak.

Satu kluster lagi adalah kluster komuniti iaitu Kluster Kg. Weston, Beaufort. Jumlah kluster yang masih aktif di Sabah ialah 26 kluster.

Secara keseluruhan, hanya dua daerah  mencatatkan kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu 177 kes dan Tuaran 102 kes.

Walaupun jumlah daerah yang mencatatkan kes tiga dan dua angka telah berkurangan, namun peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi iaitu hampir 65%.

Sebanyak 779 atau 97.86% daripada 796 kes-kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, sepuluh kes dalam Kategori 4 dan empat kes dalam Kategori 5.

Kali terakhir Sabah mencatatkan kes di bawah paras 1,000 kes ialah pada 4 Februari 2022.