Kes baharu COVID-19 kekal pada dua angka selama dua hari berturut-turut selepas mencatatkan 11 kes, setakat pukul 12 tengah hari Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, tujuh adalah kes import manakala empat lagi jangkitan dalam negara.

Katanya, daripada empat jangkitan dalam negara, tiga kes melibatkan warganegara tempatan manakala satu kes bukan warganegara.

"Satu kes penularan tempatan dikesan daripada Kluster Telaga manakala dua lagi dilaporkan daripada Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih 2.

"Sementara itu, satu lagi kes jangkitan tempatan membabitkan bukan warganegara juga dikesan daripada Kluster DTI Semenyih 2," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, pada Jumaat.

Sehingga kini kata Dr Noor Hisham, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 9,385 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 165 kes.

Katanya, sembilan kes pulih dilaporkan pada Jumaat dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,092 kes bersamaan 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan.

Beliau menjelaskan, terdapat empat kes positif COVID-19 yang masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, tiada kematian baharu dilaporkan dan jumlah keseluruhan kekal 128 kes atau 1.36 peratus.