KUALA LUMPUR: Kes harian COVID-19 mencatatkan kenaikan apabila merekodkan  21,668 kes dalam tempoh 24 jam, angka tertinggi sejak pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu kini mencecah 1.34 juta jangkitan di Malaysia.


Beliau memaklumkan tujuh negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kedah Sabah dan Sarawak melepasi empat angka dengan Selangor kekal menyumbang angka tertinggi dengan 6,278.

Katanya, Kuala Lumpur merekodkan 2,436 kes, Johor (1,706), Sabah (2,052), Sarawak (1,216), Kedah (2,143 ) dan Pulau Pinang (1,229).

"Dalam tempoh 24 jam sahaja, sebanyak 318 kematian direkodkan, menjadikan jumlah korban setakat ini kepada 11,691 individu atau 0.87 peratus.

"Angka ini termasuk 93 kes kematian sebelum tiba di hospital (BID)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memberitahu, kes kematian terbanyak dilaporkan di Selangor dengan 118  kes, diikuti Johor (52), Kuala Lumpur (45), Sabah (28) Kedah (19) dan masing-masing 10 kes di Pulau Pinang dan Melaka. 

Sementara itu, katanya, daripada jumlah kes harian yang direkodkan dalam tempoh 24 jam, hanya 440 kes  atau 2.1 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

Menurutnya, 97.9 peratus kes lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Beliau turut memaklumkan, daripada jumlah itu, hanya 2,720 individu  atau 12.6 peratus yang sudah melengkapkan dua dos vaksin dengan tempoh dua minggu. 

Tambahnya, sebanyak 17,687 kes sembuh direkodkan dengan jumlah keseluruhan mencecah 1.1 juta atau 81.4 peratus.

Menurutnya lagi, 1,059 individu sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 543 daripadanya memerlukan alat pernafasan.

Jumlah aktif dengan kebolehjangkitan yang direkodkan sehingga hari ini kata beliau, adalah 237,021 kes.