KUALA LUMPUR: Sabah hari ini melaporkan pertambahan 1,062 kes positif COVID-19 menyaksikan sedikit peningkatan daripada kes yang dilaporkan pada Rabu.

Bagaimanapun jika dilihat dari sudut positif, kadar vaksinasi di negeri itu juga tinggi dengan 1,383,193 dos keseluruhan telah diberikan melibatkan 967,555 dos pertama dan 415,638 dos kedua.

Menerusi kenyataan Jurucakap Kerajaan Sabah Berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mempunyai keupayaan memberikan 60,000 dos sehari.

Namun ia hanya boleh dijayakan sekiranya tiada gangguan jadual penghantaran vaksin ke negeri itu.

“Seperti yang dinyatakan lebih awal JKNS ada keupayaan memberi vaksin sehingga 60,000 dos sehari dengan syarat bekalan vaksin yang diperlukan tersedia dan tidak ada gangguan jadual penghantaran bekalan.

"Sekiranya bekalan mencukupi, Sabah akan mampu mencapai sasaran 60 peratus rakyat negeri itu lengkap menerima dua dos vaksin menjelang 21 September depan,’’ katanya.

Mengulas mengenai kes harian COVID-19 di Sabah, Masidi berkata jumlah kes sporadik di negeri itu terus meningkat dengan 251 kes atau 24 peratus dari jumlah keseluruhan.

Manakala kes positif melibatkan saringan kontak rapat kekal sebagai penyumbang utama dengan 569 kes atau 54 peratus.

“Kes-kes sporadik yang agak tinggi dikesan di Kota Kinabalu dengan 83 kes daripada jumlah keseluruhan di daerah itu diikuti Tawau (37), Penampang (27), Sandakan (19) dan Tuaran (27).

“Dan saringan bersasar di lokaliti yang dikenakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melaporkan 65 kes baharu atau 6 peratus daripada jumlah keseluruhan,’’ tambahnya.