KUALA LUMPUR: Jumlah pesakit yang kembali sembuh akibat COVID-19 melebihi angka kes baharu pada Jumaat apabila 22,399 lagi disahkan pulih.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan itu menjadikan angka kes sembuh meningkat kepada 1,528,672.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu pula menyaksikan pengurangan berbanding semalam dengan pertambahan 19,378 dan ia membawa angka keseluruhan kepada 1,805,382.

Dr Noor Hisham berkata, negeri Selangor masih kekal tertinggi dengan 3,613 kes, diikuti Sarawak (2,464 kes), Sabah (2,404 kes), Johor (2,331 kes) dan Pulau Pinang (1,726 kes).

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, kata Dr Noor Hisham, negeri Perlis merekodkan peningkatan mendadak  dengan pertambahan 80 kes baharu.

Manakala, Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan kes harian di bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut dengan angka 740 kes.

Beliau turut memaklumkan, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kembali berkurangan kepada tiga angka buat pertama kali dalam lima hari berturut-turut apabila hanya 975 pesakit ditempatkan di wad berkenaan.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah itu, seramai 463 pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan sementara jumlah kes aktif adalah 259,189.

Dalam pada itu, 330 lagi individu disahkan meninggal dunia akibat COVID-19 dengan membawa angka tersebut kepada 17,521 setakat ini.

 
Sumber Facebook DGHisham