Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan sebuah sekolah di Kulim, Kedah, ditutup selepas dikaitkan dengan penularan jangkitan COVID-19 daripada Kluster Tawar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya juga sudah menjalankan aktiviti nyah cemar dan sanitasi di sekolah berkenaan.

"Kita sudah menutup sekolah berkenaan dan menjalankan saringan COVID-19 ke atas semua muridnya. Kami sudah mengambil segala pendekatan untuk membendung wabak ini.

"Saya harap dalam tempoh satu atau dua minggu lagi, kita berjaya membendung penularan di kawasan berkenaan," katanya dalam sidang media, di sini pada Selasa.

Data KKM mendedahkan empat kes baharu di Kulim, Kedah membabitkan seorang guru dan tiga murid (Kes 9,204 hingga 9,207) dan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun (Kes 9,163) dijangkiti COVID-19.

Difahamkan mereka adalah ahli keluarga kepada kes indeks (Kes 9,113).

Kes berkenaan adalah daripada kluster Tawar yang kini sudah memasuki generasi ketiga.

Kluster Tawar sebelum ini dikaitkan dengan upacara pengebumian yang diadakan pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu.