KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 11 lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak  931 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tujuh kluster berkaitan tempat kerja dan masing-masing dua kluster melibatkan komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.

Beliau berkata, jumlah kluster yang aktif sebanyak 466 kluster.

"Jumlah kluster yang telah tamat ialah sebanyak 465 kluster (termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Genting, Kluster Harum, Kluster Medan Idaman, dan Kluster Wakaf Lanas.

"Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tanjung Suria (356 kes), Kluster Persiaran Perkilangan (319 kes), dan Kluster Jalan Cochrane (104 kes)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Berikut merupakan 11 senarai kluster baharu:

1. Industri Wawasan, Selangor
2. Batu 20 Selangor, Selangor
3. Tapak Bina Persiaran Sepang, Selangor
4. Tapak Bina Jalan Tandok, Kuala Lumpur
5. Jalan Dua Belas, Kuala Lumpur
6. Jalan Tiga KKIP, Sabah
7. Jalan Uda Utama, Johor
8. Jalan Kancil Waha, Johor
9. Lorong Sahabat, Johor
10. Lorong Bersatu Damai, Sabah
11. Jalan Harun, Kuala Lumpur

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal negeri yang mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,757 kes (53.4 peratus).

BACA: COVID-19: 3,288 kes baharu, 14 kematian direkodkan

Daripada jumlah itu, beliau berkata, sebanyak 1,552 kes (88.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 408 kes (12.4 peratus) dan Johor sebanyak 369 kes (11.2 peratus)," katanya lagi.