PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan kerjasama dan penyertaan pengamal perubatan swasta dalam pemberian vaksin COVID-1 pada fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), pada April dan Mei ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, persetujuan membabitkan pengamal perubatan am swasta itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Beliau berkata, untuk tujuan itu, JKJAV telah melantik Protect Health Corp Sdn Bhd, agensi diperbadan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) pada 19 Disember 2016 sebagai pelaksana pengamal perubatan swasta dalam program pelalian itu.

"Pelantikan ini berdasarkan kepada pengalaman dan keupayaan Protect Health dalam mendaftar, menyelaras, memantau kualiti dan menguruskan pembayaran kepada pengamal perubatan am swasta bagi Skim Peduli Kesihatan B40 (PEKAB40).

"Skop tugas Protect Health yang akan dilaksanakan termasuk mendaftarkan pengamal perubatan am swasta, menguruskan pembayaran, memberi manual serta memantau aktiviti vaksinasi yang dijalankan.

"Pengamal perubatan am swasta yang berminat menyertai program bagi fasa kedua dan ketiga perlu berdaftar bermula hari ini, melalui www.protecthealth.com.my. Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya dalam sidang media Perkembangan PICK di sini, pada Isnin.

BACA: Malaysia muktamad terima 32 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech, manfaat separuh daripada populasi negara

BACA: Vaksin COVID-19: 139,720 terima vaksin, lebih 3.8 juta daftar PICK

Sementara itu, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia akan mempercepatkan rundingan bersama syarikat bioteknologi China, CanSino Biologics yang mengeluarkan vaksin COVID-19 satu dos.

Beliau berkata, perkara itu adalah pilihan lebih baik berbanding vaksin keluaran Johnson-and-Johnson yang hanya dapat membekalkan dua juta dos pada suku keempat tahun ini.

"Jadi kita akan percepatkan rundingan dengan pihak CanSino agar dapat vaksin satu dos dalam portfolio kita.

"Kita juga melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sedang mempertimbangkan untuk menghentikan rundingan dengan syarikat Johnson-and-Johnson dan ia akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan Khamis ini," katanya.

Dalam pada itu, jelas Khairy, JKJAV juga sedang mempertimbangkan satu lagi calon vaksin buatan syarikat Amerika Syarikat, Novavax yang mempunyai tahap keberkesanan sehingga 89.3 peratus dalam ujian klinikal di United Kingdom.