Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tidak akan menyediakan 'tag' atau lencana kepada warga asing yang sudah menjalani saringan COVID-19, sebaliknya hanya membekalkan surat pengesahan.

Ini kerana menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ujian saringan yang dijalankan hanya tertakluk kepada tempoh masa tersebut sahaja.

Justeru, penyediaan surat ujian saringan dilihat lebih praktikal berbanding memberikan lencana.

“Mereka (warga asing) yang telah melaksanakan ujian kita akan beri jawapan dan keputusannya dalam satu surat, dan bukan dari segi ‘tag’.

“Sebab ujian itu untuk masa tu sahaja tetapi kalau kita bagi tag ia seolah-olah telah melaksanakan ujian untuk sebagai satu pas.

“Jadi, ujian yang dijalankan untuk bukan warga negara kita akan maklumkan kepada majikan, kalau majikan (menjalankan ujian saringan) pekerja-pekerja tersebut, kalau tidak kita akan bagi satu surat sahaja dan bukan tag,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keberkesanan cadangan memberikan lencana dalam usaha mengelakkan jangkitan COVID-19.

Terdahulu, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KSM) dikatakan akan berbincang kemungkinan untuk menyediakan 'tag' atau lencana kepada warga asing yang sudah menjalani saringan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hospital akan mengeluarkan surat mengandungi keputusan ujian dan arahan selanjutnya kepada mana-mana individu yang membuat saringan COVID-19.