KOTA KINABALU: Satu lagi kluster COVID-19 jenis institusi pendidikan direkodkan di Sabah semalam dengan 18 kes kumulatif terdiri daripada pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Balung, Tawau, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata kes indeks merupakan pelajar lelaki Tingkatan Empat sekolah itu yang dikesan positif pada 21 Jan setelah bergejala sejak 19 Jan lepas.

"Saringan telah dijalankan ke atas 38 kontak rapat. Semua pesakit dikategorikan sebagai bergejalaringan (Kategori Satu dan Dua) dan telah dikuarantin serta diberikan rawatan yang sesuai," katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Pada minggu lepas lima kluster COVID-19 jenis institusi pendidikan direkodkan di Sabah iaitu di Putatan (Kluster Pandan-Pandan), Sandakan (Kluster Jalan Pertukangan), Ranau (Kluster Puri Ranau) dan (Kluster Bypass Kologon) dan Tambunan (Kluster Jalan Kepayan Lama).

Sementara itu, Masidi berkata 314 kes baharu COVID-19 direkodkan semalam menjadikan kumulatif 246,077 kes, dan sebanyak tiga kes kematian.

"Seramai 177 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 238,187 orang sembuh, manakala 690 pesakit sedang menerima rawatan," katanya.

-- BERNAMA