Salji tebal lumpuhkan Eropah: 6 maut, ratusan penerbangan dibatalkan

Penumpang menunggu perkembangan penerbangan di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam pada Selasa susulan gangguan perjalanan udara, kereta api dan jalan raya akibat salji di Belanda. - Gambar Reuters
PARIS: Salji lebat dan cuaca beku melanda Eropah, mengakibatkan kekacauan perjalanan dengan enam kematian dilaporkan serta ratusan penerbangan dibatalkan di beberapa negara.
Lima mangsa maut di dua wilayah berbeza di Perancis akibat keadaan jalan licin, menurut pihak berkuasa, manakala seorang wanita terbunuh di Sarajevo, Bosnia selepas salji setebal 40 sentimeter melanda ibu kota itu.
Ratusan penerbangan dibatalkan di seluruh Eropah, menyebabkan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang Paris dan Amsterdam.
Gangguan dijangka berlarutan sehingga hari ini.
Di Perancis, tiga maut dalam dua insiden berasingan di Landes, barat daya negara itu akibat ais hitam di jalan raya.
Dua lagi mangsa terbunuh dalam kemalangan berasingan di Paris, termasuk seorang pemandu teksi yang terbabas ke Sungai Marne selepas melanggar tepi jalan bersalji.
Di Balkan, salji dan hujan lebat turut melanda sementara, seorang wanita di Sarajevo maut selepas ditimpa pokok yang tumbang akibat salji basah.
Menteri Pengangkutan Perancis, Philippe Tabarot memberi amaran lebih banyak salji dijangka turun sehingga Rabu dan menggesa orang ramai mengurangkan perjalanan serta bekerja dari rumah.
Jabatan Meteorologi Perancis meletakkan 38 daerah dalam amaran jingga untuk salji dan ais hitam.
Lapangan Terbang Roissy-Charles de Gaulle di Paris dijangka membatalkan 40 peratus penerbangan pada pagi Rabu bagi kerja-kerja pembersihan salji di landasan, manakala Lapangan Terbang Orly akan membatalkan suku daripada jadual penerbangan.
Di Amsterdam, lebih 400 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Schiphol, menyebabkan ratusan penumpang terkandas dan beratur panjang di kaunter bantuan.
Syarikat penerbangan KLM memaklumkan hampir kehabisan cecair nyah-ais akibat cuaca ekstrem dan kelewatan bekalan.
Gangguan turut melibatkan perjalanan kereta api.
Pada Selasa pagi, semua perkhidmatan kereta api di Belanda terhenti seketika akibat masalah teknologi maklumat (IT) sebelum beroperasi semula secara berperingkat.
Perkhidmatan Eurostar dari Amsterdam ke Paris juga dibatalkan atau mengalami kelewatan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


