Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disaran untuk melantik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar sebagai rakan strategik dalam usaha mengagihkan bantuan di kawasan panas kes COVID-19.

Aktivis masyarakat, Hayati Ismail berkata, langkah itu bagi membolehkan usaha penyaluran maklumat dan kerjasama antara semua pihak dapat diselaraskan, khususnya dalam pengagihan bantuan di kawasan yang memerlukan.

Selain itu, katanya, langkah itu juga bagi memastikan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi semua pihak termasuk NGO.

"Cara ini dapat memastikan tiada pihak yang terputus bekalan makanan. Pihak berkuasa juga perlu hadkan hanya dua sukarelawan bagi sebuah NGO yang boleh bergerak membeli barang dan keperluan.

"Semua penghantaran bantuan kita boleh gunakan wakil syarikat penghantaran seperti Lalamove atau GrabExpress, malah sekiranya agensi kerajaan mempunyai kenderaan untuk mobilisasikan barangan yang perlu dihantar maka ianya lebih baik," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Hayati yang juga bekas Pengarah Urusan FoodAid Foundation turut menyarankan agar NGO yang ingin melibatkan diri dalam khidmat sukarelawan berdaftar dengan agensi kerajaan.

Katanya, mereka juga perlu diwajibkan untuk menghadiri kursus terutamanya berkaitan dengan SOP atau keselamatan ketika bencana.

"Untuk persediaan masa hadapan, mereka perlu mendaftarkan diri dengan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan khidmat sukarelawan.

"Apabila ada keadaan kecemasan dan darurat seperti sekarang, NGO akan diberikan pas khas oleh agensi berwajib untuk dibenarkan menjalankan proses bantuan kepada masyarakat yang terjejas," jelasnya.