KUALA LUMPUR:Daerah Lawas kini diisytihar sebagai zon hijau COVID-19 selepas tidak merekodkan kes jangkitan tempatan baharu dalam tempoh 14 hari.

Bagaimanapun empat daerah lain iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Lubok Antu masih diisytiharkan sebagai zon kuning, menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Ahad.

Selain itu, Sarawak juga tidak mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 hari ini, menjadikan angka keseluruhan kes kekal sebanyak 751 kes setakat ini.

“Tiada kes baharu pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini kekal 685 kes atau 91.21 peratus,” kata kenyataan itu.

Sebanyak 47 kes positif COVID-19 di negeri itu masih menerima rawatan di hospital melibatkan 28 kes di Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Miri (lapan kes), Hospital Bintulu (tujuh kes) dan Hospital Sibu (empat kes).

“Hari ini terdapat dua kes Person Under Investigation (PUI) dilaporkan manakala tiada kes PUI yang dilapor menunggu keputusan ujian makmal,” tambah kenyataan sama.

Kenyataan sama juga menambah, dua kluster di Sarawak iaitu Kluster Bah Arnab di Kuching dan Kluster Putra masih aktif setakat ini.