Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat lima kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 9,296 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada lima kes baharu yang direkodkan, dua adalah kes import manakala tiga penularan tempatan.

"Dua kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara iaitu Filipina dan Mesir yang melibatkan warganegara. Kes import ini dilaporkan di Selangor.

"Sementara itu, tiga kes penularan dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia di Melaka iaitu dua kes saringan prapembedahan dan satu kes saringan bergejala, semuanya di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak," jelasnya dalam sidang media perkembangan COVID-19 pada Khamis.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula menurun kepada 177 kes dan mereka telah diasingkan untuk mendapat rawatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 16 kes pulih yang dilaporkan pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,994 kes (96.8 peratus).

Setakat ini, lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, tiada kematian baharu dilaporkan hari ini justeru jumlah kematian kekal 125 kes (1.34 peratus).