Sebanyak sembilan kes baharu dilaporkan pada Jumaat dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 179 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, beliau turut memberitahu wujud satu kluster baru yang dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur melibatkan kes 9,176 dan 9,177 yang telah dilaporkan pada 16 Ogos lalu.

Berikut merupakan lima perkara penting diumumkan dalam kenyataan media hari ini.

1) Sehingga 21 Ogos 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat sembilan kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 9,249 kes.

2) Terdapat 13 kes pulih pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,945 kes.

3) Terdapat tiga kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di negeri Kedah, justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 kluster ini sebanyak 58 kes.

4) Satu kluster baharu - Kluster Maju dikenal pasti di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur, sebanyak tiga kes positif telah dikesan.

5) Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, jumlah kematian kekal 125.