Malaysia merekodkan satu lagi pertambahan kematian akibat COVID-19 menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat wabak itu seramai 17 orang.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, mangsa merupakan warga tempatan kes ke-1,251 berusia 66 tahun dan mempunyai latar belakang beberapa penyakit kronik.

“Beliau telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 20 Mac 2020.

“Keadaan beliau kritikal semasa tiba di Jabatan Kecemasan dan seterusnya memerlukan bantuan pernafasan pada hari yang sama. Beliau disahkan positif COVID-19 pada 21 Mac 2020,” katanya dalam laman media sosial Facebook.

Mengulas lanjut, Hisham berkata, kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020 jam 4.10 pagi.

“Punca jangkitan COVID-19 beliau masih dalam siasatan. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” ujarnya lagi.

Malaysia mencatatkan 106 kes positif COVID-19 setakat Selasa, jam 12 tengahari menjadikan jumlah kumulatif adalah 1,624 kes.