Sebanyak sembilan kes baharu positif COVID-19 dilaporkan pada Jumaat sehingga pukul 12 tengah hari, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat sebanyak 9,249 kes.

Kementerian Kesihatan memaklumkan, daripada sembilan kes baharu yang dilaporkan itu, empat daripadanya merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara.

Empat kes import tersebut adalah dari negara Filipina, Austria, Indonesia dan India.

Sementara lima kes penularan di dalam negara pula kata Kementerian Kesihatan melibatkan empat warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan, sehingga kini, terdapat tujuh kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Hari ini juga, tiada sebarang pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes.