Malaysia terus mencatatkan peningkatan jumlah kes pesakit pulih COVID-19 iaitu 119 kes melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang pulih sepenuhnya dan telah discaj dari hospital adalah sebanyak 2,766 kes, atau bersamaan 53.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, terdapat 110 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,182 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,332 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.


"Sehingga kini, seramai 56 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 29 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 84 kes atau bersamaan dengan 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), kes kematian ke-84 (kes ke-4,711) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi.

"Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 9 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah hari Rabu," jelas beliau.