KLANG: Sebanyak 151 katil rawatan akan ditambah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi memastikan pengurusan pesakit COVID-19 menjadi lancar, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan menambah 15 lagi alat bantuan pernafasan (ventilator) bagi kegunaan hospital tersebut.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beberapa langkah susulan juga telah diambil bagi memastikan hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang, dapat bertahan susulan kadar kes harian COVID-19 termasuk penggunaan unit rawatan rapi (ICU) yang tinggi.

“Saya juga telah mengarahkan penambahan segera 151 katil di Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (KRIBA) serta tambahan 15 ventilator bagi kegunaan HTAR.

“Saya juga mengarahkan agar aspek kesihatan mental dalam kalangan anggota dan rakyat sentiasa diberikan perhatian secara serius bagi memastikan kebajikan dan moral kakitangan terus dijaga,” katanya selepas meninjau operasi di Jabatan Trauma dan Kecemasan, serta Jabatan Forensik HTAR awal hari ini.

Dengan penambahan 151 katil tersebut, HTAR kini mempunyai 606 katil keseluruhan, selain pertambahan katil ICU daripada 51 kepada 72 dalam tempoh terdekat.

Dalam kenyataan sebelum ini, pihak pengurusan HTAR berkata, blok yang menempatkan doktor pelatih, serta kompleks rawatan harian telah ditukar menjadi wad sementara pesakit COVID-19, sejak Jumaat lepas.

Tular sebelum ini beberapa rakaman video amatur, yang menunjukkan keadaan sesak di tempat kemasukan pesakit, dengan beberapa katil terpaksa diletakkan di luar wad kecemasan, ekoran peningkatan mendadak pesakit COVID-19.

Untuk rekod, Selangor terus menjadi negeri tertinggi mencatat kes baharu COVID-19, dengan 4,308 lagi kes dikesan pada 12 Julai, menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 290,660.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beberapa langkah kesiapsiagaan dan inisiatif telah dirangka dan dilaksanakan, seperti menjadikan Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang sebagai Hospital ‘Full’ COVID-19.

Selain itu, beliau kesemua hospital KKM telah dijadikan Hospital Hibrid COVID-19, kecuali Hospital Shah Alam.

Kapasiti katil di semua hospital COVID-19 Lembah Klang juga, katanya lagi, telah ditambah, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 5,000 katil.

Perdana Menteri berkata, penyumberluaran rawatan pesakit di hospital swasta juga telahpun dilaksanakan bagi meringankan beban yang ditanggung hospital di bawah KKM.

Di samping RM700 juta yang telah dibelanja KKM di seluruh negara, Muhyiddin berkata, beliau bersetuju agar peruntukan ditambah bagi pengurusan COVID-19 di Lembah Klang, melibatkan aktiviti penyumberluaran sebanyak RM100 juta, pengurusan kesihatan mental (RM20 juta), serta tambahan katil dan ventilator HTAR (RM5 juta).

Selain itu, Perdana Menteri berkata, penambahan ruang di hospital-hospital di Selangor melibatkan RM5 juta, bayaran elaun tambahan kakitangan ICU (RM1,000/sebulan), penyediaan taska/sewa bangunan untuk anak-anak petugas (RM1.5 juta), serta pusat kuarantin khas bagi petugas (RM2 juta).

Muhyiddin turut mengharapkan agar ketua-ketua jabatan dapat mempertimbangkan permohonan cuti tanpa rekod bagi membolehkan petugas kesihatan boleh melalui proses pemulihan sebelum bertugas semula.