Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari oleh Pengarah Kesihatan Negeri.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Politik beliau, Muhyidin Abdul Rashid, arahan kuarantin ke atas Dr Ahmad Samsuri dibuat susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu memiliki kontak dengan dua individu positif COVID-19 beberapa hari lalu.

Katanya, tindakan pantas telah diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengenal pasti, menghubungi dan menjalankan ujian COVID-19 terhadap semua yang berkait dengan kontak berkenaan.

Menurut beliau, pemantauan berterusan juga sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri.

Sehubungan itu, Muhyidin berkata, semua program yang melibatkan Menteri Besar ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin.

Beliau juga berkata, Dr Ahmad Samsuri telah menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR) covid-19 dan disahkan negatif.

Bagaimanapun, beliau perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13 kuarantin kelak.

BACA: Annuar Musa sahkan dirinya diarah kuarantin