GEORGE TOWN: Program saringan massa COVID-19 dalam komuniti secara bersasar atau Penang Saring COVID-19 (PSC-19) mula dilaksanakan di Pulau Pinang hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan PSC-19 penting bagi menentukan prestasi nilai ambang yang perlu dicapai negeri itu sebagaimana ditetapkan kerajaan Pusat iaitu purata kes dalam tempoh tujuh hari ditetapkan tidak boleh lebih 217 kes dalam memutuskan peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut beliau, saringan bersasar merupakan antara langkah menangani penularan pandemik COVID-19 di negeri itu.

Justeru, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersiap sedia untuk menghadapi situasi jika berlaku peningkatan jumlah kes COVID-19 susulan pelaksanaan program tersebut.

“Objekti ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menurunkan jumlah kes COVID-19 dengan memutuskan rangkaian jangkitan dalam komuniti kita. Ini penting (buat masa) sekarang memandangkan ini adalah salah satu nilai ambang yang baharu perlu dicapai oleh setiap negeri apabila mahu beralih ke fasa berikutnya,” kata beliau.

Ketua Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan hari pertama pelaksanaan program PSC-19 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Chow berkata, meskipun Pulau Pinang memasuki Fasa 4 dalam PPN kelak, ujian saringan COVID-19 masih perlu dilakukan bagi mengenal pasti kes positif dalam kalangan komuniti.

“Saya ingin tegaskan kepada pihak yang mempertikaikan mengapa saringan diperlukan, kalau tidak dibuat ujian macam mana kita nak tahu negeri kita ada kes positif, walau apapun setelah kita capai Fasa 4 kelak, ujian (saringan) amat diperlukan bagi kenal pasti kes-kes positif,” kata beliau lagi.

Dalam masa sama, pihaknya berharap kerajaan Persekutuan mewajibkan saringan kendiri (self testing) pada masa depan sebaik  ‘kit ujian kendiri’ memasuki pasaran negara ini.

Katanya, setiap individu boleh menjalankan ujian saringan sendiri di rumah dan tindakan itu dilihat lebih efektif.

“Kita berharap kerajaan akan tetapkan self testing diwajibbkan pada masa depan kerana bila self testing kit masuk ke pasaran, setiap orang boleh melakukan ujian di rumah dan dengan cepat tahu keputusan,” ujar Kon Yeow.

Sementara itu, hari pertama pelaksanaan program PSC-19 melibatkan keseluruhan 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan kaedah RTK-Antigen.

Seramai 1,000 penduduk dijangka mula menjalani ujian saringan di bawah program tersebut.

Program yang julung kali ini diadakan hari ini melibatkan enam KADUN di bahagian Pulau iaitu Sungai Pinang, Padang Kota, Datok Keramat, Pulau Tikus, Batu Lancang serta Pengkalan Kota.

Manakala program sama akan disambung di Seberang Perai pada 10 Julai dan 11 Julai ini.