Pasar Nelayan Seberang Kota di sini ditutup sementara bermula semalam selepas terdapat maklumat bahawa ia dikunjungi kontak rapat pesakit COVID-19 yang memakai gelang merah jambu.

Penutupan pasar awam itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Nor Azman Mohd Noor.

Katanya, pasar itu ditutup sementara waktu sehingga satu tarikh diberitahu kelak.

Susulan itu, satu notis dikeluarkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kepada peniaga di kawasan itu.

Justeru, orang ramai tidak dibenarkan mengunjungi kawasan itu buat sementara waktu dan semua aktiviti perniagaan ditutup.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, pihaknya telah melakukan sanitasi awam di kawasan berkenaan bermula petang semalam.

Katanya, sanitasi awam itu turut disertai pasukan pemantau lima anggota polis dan dua pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Proses sanitasi menggunakan bahan kimia sodium hypochlorite.