Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura menasihati pekerja Malaysia yang belum mempunyai tempat tinggal sementara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan agar menghubungi pihaknya dengan segera.

"Nasihat kepada mereka agar berhubung terus dengan pihak suruhanjaya di sini bagi mendapatkan bantuan dan nasihat selanjutnya," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Zainol Rahim Zainuddin ketika dihubungi Bernama hari ini.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia terletak di 301 Jervois Rd, Singapura dan boleh dihubungi melalui talian 62350111 atau -mel [email protected].

Bernama difahamkan, pihak suruhanjaya bersama-sama Malaysian Association in Singapore (MASIS) akan bekerjasama dengan kementerian berkenaan di sini bagi tujuan pemadanan penempatan.

Malaysia menguatkuasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 hingga 31 Mac bagi mengekang penularan COVID-19.

Arahan ini dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, yang di dalamnya termaktub antaranya, halangan perjalanan sepenuhnya kepada semua rakyat Malaysia untuk ke luar negara.

Arahan itu turut menjejaskan kedua-dua pemegang pas kerja dan rakyat Singapura sendiri serta penduduk tetap yang berulang-alik dari Malaysia.

Mengulas tindakan pihak Singapura menyediakan tempat perlindungan sementara, Zainol Rahim berkata: "Kita amat menghargai bantuan yang dihulurkan oleh pemerintah Singapura dan penduduk setempat, khususnya."

"Ini menunjukkan keperihatinan dan keakraban hubungan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Antara lain, Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia telah mengubah suai Dewan Sukan Jurong East sebagai tempat perlindungan sementara bagi pekerja Malaysia yang terkandas tanpa tempat tinggal yang sesuai.

Katanya, pihak suruhanjaya bersama-sama MASIS telah melakukan lawatan ke tempat-tempat yang dipercayai dijadikan tempat 'persinggahan' oleh rakyat Malaysia dan tempat perlindungan sementara di Jurong East.

Sementara itu, sejak pelaksanaan arahan itu, Kementerian Sumber Manusia (MOM) dan Pasukan Polis Singapura telah meningkatkan rondaan seluruh republik itu bagi memeriksa pekerja yang belum mendapat tempat tinggal.

Menurut MOM, pertambahan rondaan menemukan mereka dengan sebilangan kecil pekerja Malaysia yang belum mendapat tempat tinggal sementara.

"Ini termasuk 14 pekerja di stesen MRT Kranji. Mereka kemudian dibawa ke Pusat Bantuan Sementara di Jurong East sementara persiapan sedang dibuat untuk penempatan dalam tempoh lebih panjang," kata jurucakap berkenaan.

Jurucakap itu berkata, majoriti pekerja rakyat Malaysia telah diletakkan di tempat tinggal yang teratur oleh majikan masing-masing, menerusi pelbagai cara seperti tinggal bersama saudara; rakan-rakan atau rakan sekerja; hotel dan bilik asrama dan tempat tinggal persendirian.

Bagi memastikan semua pekerja Malaysia mendapat tempat tinggal yang teratur, kementerian menyalurkan kepada majikan $50 setiap hari bagi bantuan perumahan kepada setiap pekerja.- BERNAMA