Pelajar Sarawak yang tiba dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan diambil sampel serta merta setibanya mereka di negeri ini bagi memastikan mereka bebas COVID-19.

Langkah ini diambil setelah dimaklumkan wujud kluster dalam kalangan pelajar universiti di luar Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata mereka juga akan disaring dan ditempatkan di hotel sehingga keputusan sampel diperolehi.

"Sekiranya keputusan sampel mereka adalah negatif, barulah mereka akan dibenarkan pulang dan dipasangkan gelang tangan penanda dan seterusnya menyambung kuarantin di rumah,” katanya pada sidang media di sini.

JPBNS sehingga hari ini telah menyelaras kepulangan 4,931 pelajar Sarawak dari Semenanjung , Sabah dan Labuan serta 1,451 pelajar tempatan dalam Sarawak untuk balik ke kampung halaman masing-masing.

Sementara itu bagi penjawat awam yang berada di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang balik ke Sarawak untuk bertugas pula, mereka dikehendaki menjalani ujian PCR dalam tempoh tiga hari sebelum memulakan perjalanan ke Sarawak.

Menurut Uggah, mereka hanya akan dibenarkan memasuki negeri ini sekiranya keputusan sampel disahkan negatif.