PUTRAJAYA: Bilangan kematian mencatatkan peningkatan sebanyak 60.5 peratus atau 65,584 kematian pada suku ketiga tahun ini berbanding 40,858 kematian pada suku ketiga 2020, menurut laporan berkaitan Perangkaan Demografik bagi suku tahun ketiga 2021.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini, Selangor merekodkan kadar kematian tertinggi iaitu 13,926 kematian manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar terendah dengan 90 kematian.

"Kematian disebabkan oleh COVID-19 menjadi penyumbang utama kepada peningkatan ketara bilangan kematian pada suku ketiga 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan kematian pada suku ketiga 2021, sebanyak 21,165 kematian adalah akibat COVID-19 iaitu peningkatan sebanyak 15 kematian bagi tempoh sama 2020, katanya.

Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat COVID-19 dengan 7,788 kematian manakala Putrajaya mencatatkan kematian terendah dengan hanya sembilan kematian, katanya.

Menurut Mohd Uzir, kematian disebabkan oleh COVID-19 turut menunjukkan peningkatan pada suku ketiga 2021 di negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura serta Vietnam dan trend sama dicatatkan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan United Kingdom.

Beliau berkata kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 120,147 kelahiran berbanding 120,725 kelahiran bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya, kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 61,613 kelahiran berbanding 58,534 bayi perempuan, dengan Selangor mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi iaitu sebanyak 22,956 bayi manakala Labuan mencatatkan kelahiran terendah dengan 430 kelahiran.

Mohd Uzir berkata penurunan bilangan kelahiran adalah selari dengan negara lain seperti AS, Korea Selatan , United Kingdom, Perancis dan Sepanyol.

Beliau berkata penduduk Malaysia pada suku ketiga 2021 dianggarkan 32.67 juta, meingkat 0.2 peratus berbanding 32.60 juta pada suku ketiga 2020.

"Jumlah penduduk merangkumi 30.01 juta orang atau 91.9 peratus manakala 2.65 juta orang atau 8.1 peratus bukan warganegara," katanya.

Pada suku ketiga 2021, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing sebanyak 16.77 juta dan 15.89 juta, dengan nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan, menurut Mohd Uzir.

Beliau berkata tiga negeri mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku ketiga 2021 adalah Selangor (20.1 peratus) diikuti Sabah (11.7 peratus) dan Johor (11.6 peratus).

-- BERNAMA