IPOH: Sebuah lagi sekolah di negeri ini merekodkan jangkitan COVID-19, selepas kes sama dilaporkan ke atas enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kes kedua itu membabitkan sebuah sekolah agama di Bagan Datuk, difahamkan ia daripada kluster Batu 20 Selekoh. 

Saarani menjelaskan, tiada sebarang penutupan sekolah dibuat dan pelajar yang positif COVID-19 telah dikuarantin di asrama berasingan.

"Memang ada berlaku jangkitan kepada pelajar sekolah terutama sekali sekolah berasrama penuh. Tetapi mereka yang dijangkiti itu sudah diasing atau dikuarantin di asrama berasingan sekali gus ia (jangkitan) tidak menular ke luar.

"Di Perak tiada sekolah ditutup setakat ini. Sekolah yang terbabit masih dibuka tetapi pelajar berkenaan dikuarantin di asrama berasingan," katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Saarani berkata, setakat ini pihaknya masih belum memperoleh angka rasmi jumlah sebenar jangkitan COVID-19 membabitkan sekolah memandangkan terdapat sekolah yang bukan berada di bawah penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan (KPM).

"Situasi sekarang, (kes jangkitan Covid-19) ada dua sekolah, satu di bawah JPN yang hanya ambil maklum berkaitan sekolah di bawah KPM dan satu lagi sekolah (MRSM Sultan Azlan Shah) adalah di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Baru-baru ini, media melaporkan Exco Kesihatan Perak, Mohd Akmal Kamarudin mengesahkan enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah (SAS) Kuala Kangsar disahkan positif COVID-19 melalui Kluster Jalan Kuala Kangsar-Gerik.