IPOH: Perak merekodkan kes kedua COVID-19 Omicron apabila seorang individu tempatan dikesan positif varian itu selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, individu itu berada di Arab Saudi bersama ahli keluarganya sebelum ini dan disahkan positif sewaktu menjalani kuarantin di rumah.

"Ia dapat dikesan ketika individu berkenaan berada dalam tempoh kuarantin. Setakat ini individu berkenaan mengikut dari segi disiplin kuarantin dan semua dalam keadaan terkawal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perak, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Rosli Zul.

Sementara itu, ketika ditanya perincian kes berkenaan di Perak, Mohd Akmal berkata pihaknya belum mendapat maklumat lanjut mengenai individu terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Akmal turut memohon kerjasama baik syarikat umrah selain semua pihak akur dengan arahan kuarantin selama tujuh hari yang ditetapkan.

"Mungkin ramai yang menganggap perkara ini remeh dengan ada yang bersalaman, berpelukan.

"Justeru kita minta mereka yang balik dari umrah itu duduk senyap-senyap di rumah tidak perlu berjumpa dengan orang, ini kerana kita bimbang ia akan merebak (kes positif).

"Setakat ini kita pakaikan gelang digital kepada semua yang baru balik dari umrah di samping dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing,"katanya.

Sebelum ini, beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Melaka dan Johor dikesan merekodkan kes positif varian Omicron membabitkan jemaah umrah.

Terdahulu media turut melaporkan, sebanyak 62 kes COVID-19 varian Omicron telah dikesan di Malaysia setakat ini.