Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan terpaksa dilaksanakan semula sekiranya kes COVID-19 di dalam negara meningkat dengan mendadak.

Muhyiddin berkata jika PKP dilaksanakan semula, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

"Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuatkuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Nauzubillah," katanya ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan situasi semasa COVID-19 di dalam negara, malam ini.

Perutusan itu disiarkan secara langsung di beberapa rangkaian televisyen tempatan dan media sosial.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes baharu yang tinggi.