Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes COVID-19 setiap hari di negara ini.

Dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19, Muhyiddin antara lain mengingatkan rakyat supaya terus mengamalkan normal baharu dalam kehidupan seharian meskipun negara berjaya mengawal penularan wabak itu buat masa ini.

"Saya berasa agak bimbang kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif COVID-19 yang agak ketara sejak kebelakangan ini. Sepanjang tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan.

"Peningkatan ini turut menyaksikan tiga daerah merekodkan 41 kes atau lebih sepanjang tempoh 14 hari yang lepas. Daerah-daerah yang dikategorikan sebagai merah ini ialah Kota Setar di Kedah dan Tawau serta Lahad Datu di Sabah," katanya.

Beliau berkata, sehingga 15 September, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negara mencapai 9,969 orang dengan kadar kesembuhan 92.4 peratus atau bersamaan 9,209 kes.

"Seramai 1,395,578 individu telah disampel, menjadikan kadar ujian COVID-19 yang dijalankan di Malaysia adalah 41.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

"Secara keseluruhannya terdapat 108 kluster yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre atau CPRC Kebangsaan. Daripada jumlah ini, 11 kluster masih aktif manakala baki 97 kluster telah diisytiharkan tamat," katanya.

Katanya, Kluster Seri Petaling yang diisytiharkan tamat pada 8 Julai lalu, menjadi kluster terbesar jangkitan dengan 3,375 kes positif selepas 42,023 saringan dijalankan.

"Justeru, saya ingin mengingatkan saudara dan saudari supaya terus berwaspada. Jangan leka. Peraturan-peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup muka dan pematuhan kepada SOP (prosedur operasi standard) masih berkuat kuasa.

"Tanpa rawatan yang spesifik dan vaksin yang berkesan serta selamat untuk menangani penularan jangkitan COVID-19, pembudayaan normal baharu yang saudara dan saudari sedang amalkan pada waktu ini adalah suatu langkah yang amat kritikal," kata Perdana Menteri.