KADAR kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia susut buat kali pertama selepas mencatatkan trend mendatar selama lima hari berturut-turut.

Pada Selasa, angka itu turun ke 1.04 berbanding 1.05 sejak Khamis lalu.

Sebanyak 11 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Perlis mencatat kadar tertinggi dengan 1.29 diikuti Sarawak, Kelantan, Sabah, Pulau Pinang, Kedah.

Seterusnya Perak, Melaka, Johor, Terengganu dan Pahang.

Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Putrajaya mencatat kadar kebolehjangkitan di bawah purata kebangsaan.

Labuan pula tidak merekodkan kes baharu.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.