KUALA LUMPUR : Sarawak melaporkan pertambahan 199 kes positif COVID-19 dengan Sibu kekal merekodkan kes harian tertinggi iaitu 41 kes.

Ia diikuti Kapit (33), Kuching (33), Miri (22), Song (19), lapan di Bintulu dan Tatau, Serian, Bau dan Betong pula enam kes.

Manakala empat kes dicatatkan di Samarahan, Bukit Mabong (3), Mukah dan Pusa (2), selebihnya di Dalat, Saratok, Sarikei, Sri Aman, Subis dan Selangau dengan masing-masing satu kes.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak meningkat kepada 11,710 kes.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, satu kluster baharu turut dicatatkan. 

"Kluster Melor merupakan kluster komuniti yang telah dikesan di Lorong Melor di Kampung Beladin yang terletak di dalam Pusa, Sarawak.

"Indeks kes kepada kluster ini adalah wanita tempatan berumur 23 tahun yang telah dikesan melalui saringan individu bergejala pada 24 Februari 2021.

Hasil pengesanan dan saringan ke atas semua kontak rapat kepada kes indeks ini, 13 individu dikesan positif COVID-19.," petik kenyataan JPBN Sarawak pada Rabu. 

Ujarnya, pertambahan kluster baharu ini sekali gus menjadikan jumlah kluster yang aktif di Sarawak adalah sebanyak 27 kluster, yang mana enam daripadanya mencatatkan penambahan kes baharu hari ini.

Antara lain, daerah Bau dan Serian telah diisytiharkan berstatus merah setelah masing-masing merekodkan 41 dan 42 kes tempatan dalam tempoh 14 hari lepas. 

"Daerah Samarahan dan Song pula bertukar status daripada status kuning kepada status jingga setelah
masing-masing merekodkan 21 dan 23 kes jangkitan tempatan dalam tempoh yang sama," tambah kenyataan itu lagi. 

Pada hari ini juga, 137 kes baharu dilaporkan telah pulih dan dibenarkan discaj.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 9,124 orang atau 77.92% dari jumlah keseluruhan kes di Sarawak.