KUALA LUMPUR:Sarawak hari ini kembali merekodkan pertambahan kes positif COVID-19 tiga angka dengan 171 kes dilaporkan selepas hanya mencatatkan 70 kes pada Rabu.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Sibu kekal merekodkan pertambahan tertinggi dengan 77 kes.

Ia diikuti Miri (43), Dalat (25), Bintulu (12), Kuching (10), Betong (2), Kapit dan Lundu (satu) seterusnya menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 3,945 kes.

“Kluster Pasai merekodkan pertambahan 74 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,704 kes.

“Setakat ini, 18,550 individu telah disaring dan 15,550 disahkan negatif manakala 1,296 masih menunggu keputusan makmal,” kata kenyataan itu.

Selain itu, satu kes kematian turut dilaporkan melibatkan kes 2,047 yang berusia 79 tahun. Ini menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 35 kes.

“Kes mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada 13 Januari 2021 kerana mengalami simptom demam dan saringan ujian rT-PCR mengesahkan kes positif COVID-19.

“Keadaan kesihatan kes merosot dan meninggal dunia pada 27 Januari 2021. Kes juga mempunyai ko-morbid seperti penyakit darah tinggi dan dementia,” tambah kenyataan itu.

Antara lain, daerah Lundu kini dikategorikan sebagai zon kuning selepas mencatatkan satu kes jangkitan terbaharu.