KUALA LUMPUR:Dua lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan Kluster Sebangkoi di Sri Aman dan Kluster Jun Heng di Bintulu dilaporkan di Sarawak pada Jumaat.

Pertambahan dua kluster ini menjadikan jumlah kluster aktif di negeri itu meningkat kepada 14.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Kluster Sebangkoi merupakan kluster komuniti yang bermula daripada sebuah keluarga.

“Indeks kes ini merupakan kes 4,400 yang disaring selepas mengalami simptom pada 29 Januari 2021 semasa dirujuk ke Hospital Sri Aman dari klinik kesihatan di Batu Lintang, Sri Aman.

“Kes dilapor mempunyai sejarah perjalanan ke Kuching pada 3 sehingga 9 Januari 2021 bagi mendapatkan rawatan di klinik penyakit kulit,” kata kenyataan itu.

Hasil pengesanan kontak rapat dan saringan terhadap 197 individu, 20 kes positif COVID-19 dikesan dan 80 individu disahkan negatif manakala 96 individu masih menunggu keputusan ujian makmal.

Sementara Kluster Jun Heng dikesan menerusi kes indeks 4,300 yang menjalani saringan individu bergejala pada 28 Januari 2021 di sebuah sebuah hospital swasta di Bintulu.

“Indeks kes kemudian telah menjangkiti ahli keluarga dan kemudian menyebarkan jangkitan ke tempat kerja.

“Hasil pengesanan kontak kepada kes ini telah mengesan tambahan 18 kes positif COVID-19,” tambah kenyataan itu.

Sehingga 5 Februari 2021, sejumlah 102 individu telah disaring dengan 19 kes (termasuk kes indeks) disahkan positif manakala 83 individu masih menunggu keputusan ujian makmal.