KUCHING:Satu lagi kluster baharu dikenali sebagai Kluster Greenhill dilaporkan di Kuching hari ini.

Pengumuman dibuat menerusi sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Rabu, turut melaporkan pertambahan 21 kes positif COVID-19 dikesan daripada kluster ini.

Pertambahan kluster ini menjadikan Sarawak kini merekodkan lima kluster aktif COVID-19 termasuk Kluster Bah Arnab, Kluster Putra, Kluster Baki dan Kluster Seladah.

Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, setakat ini Kluster Greenhill mencatatkan 25 kes positif termasuk kes indeks.

“Untuk kluster ini, 51 individu telah disaring, 25 disahkan positif COVID-19 manakala 26 individu lagi masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Kadar kes positif bagi kluster ini adalah 42.22 peratus dan setakat jam 12.00 tengah hari 28 Oktober 2020, tiada kematian dilaporkan melibatkan kluster ini,” katanya.

Antara lain, Sarawak hari mencatatkan 27 kes positif COVID-19 melibatkan 20 kes di Kuching, empat di Miri, dua di Sibu dan satu kes di Bintulu.
JEJAK COVID: SEMUA ANDA INGIN TAHU BERHUBUNG COVID-19


Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 846 kes sehingga kini.

Jelas Uggah, 20 kes baharu di Kuching dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan.

“14 kes merupakan kontak kepada kes 798 yang dilaporkan pada 26 Oktober 2020. Kes-kes ini mempunyai kontak sosial yang mempunyai sejarah menghadiri beberapa perjumpaan bersama kes 798 di Kuching.

“Enam lagi kes merupakan individu yang menjalani saringan kendiri COVID-19 di sebuah fasiliti kesihatan swasta di Kuching dan kesemua kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko jangkitan,” tambahnya.

Kemas kini kes COVID-19 di Malaysia setakat 28 Oktober 2020.⁠

Di Miri, empat kes yang dilaporkan dikategorikan sebagai kes import B dan C melibatkan tiga kes yang pulang dari kawasan berisiko tinggi dan satu kes mempunyai sejarah perjalanan ke Kuching pada 21 Oktober 2020 dan pernah berjumpa dengan kes 818 yang merupakan kontak kepada kes 798.

Manakala dua kes di Sibu dan Bintulu dikategorikan sebagai kes import B yang mempunyai sejarah perjalanan ke Selangor dan Johor; serta satu kes di Bintulu melibatkan seorang lelaki warga Filipina pada 15 Oktober 2020.