KUALA LUMPUR: Sejumlah 367 kes positif COVID-19 dilaporkan di Sabah pada Isnin dengan satu kluster institusi pendidikan melibatkan Kluster Lorong Api-Api dikesan di negeri itu.

Kluster ini diisytiharkan selepas seorang pelajar di Almacrest International College disahkan positif COVID-19 pada 21 Januari lalu.

Menerusi kenyataan Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, 40 ujian saringan dilakukan dengan 34 pelajar lain didapati positif.

‘’Kes indeks menetap di asrama koleh tersebut iaitu Api-Api Centre dan dilaporkan mula mengalami gejala bermula 18 Januari 2022.

‘’Bagaimanapun kesemua yang terlibat disahkan berada dalam kategori satu dan dua. Kini mereka telah dihantar ke pusat kuarantin bagi tujuan pengasingan dan rawatan sewajarnya,’’ katanya.

Selain itu, Kota Kinabalu melaporkan kes harian tertinggi hari ini dengan 84 kes diikuti Sandakan (74) dan Tuaran (50).

“Kes yang tinggi di Kota Kinabalu dikesan daripada saringan bergejala dan saringan selain dipengaruhi oleh kes-kes baharu yang berpunca daripada kluster baru yang diisytiharkan,’’ ujarnya lagi.

Antara lain, 364 daripada jumlah keseluruhan hari ini merupakan kategori satu dan dua, dua kes dalam kategori tiga, tiada kes kategori empat dan satu kes kategori lima.