Solat Jumaat dan aktiviti masjid di Kelantan boleh diteruskan seperti biasa walaupun negeri itu mencatatkan satu kes positif COVID-19.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamad bagaimanapun berkata sekiranya keadaan berbeza, satu keputusan lain akan dibuat berhubung perkara itu.

Beliau juga menasihati masyarakat supaya menitikberatkan soal kesihatan dan kebersihan.

"Boleh diteruskan kecuali keadaan berkehendakkan satu keputusan lain.

"Baru seorang, tidak memerlukan apa-apa perubahan. Masing-masing kena jaga, tingkatkan kebersihan dan kesihatan," katanya.

Beliau turut menasihati ahli jemaah tabligh atau sesiapa sahaja yang berasakan diri mereka terdedah kepada wabak berkenaan agar segera membuat saringan dan pemeriksaan.

Ini kerana dalam kaedah Islam, menjaga kesihatan diri dan memelihara diri dan orang sekeliling daripada kemudaratan merupakan satu tuntutan wajib yang perlu dipatuhi.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan satu kes positif COVID-19 di Kelantan melibatkan seorang ahli jemaah tabligh.

Jabatan Kesihatan Kelantan pula melaporkan 132 ahli jemaah tabligh sudah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, tiga kes dirawat di hospital kerana mempunyai tanda klinikal manakala 70 orang sudah dikuarantinkan.