IPOH:Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan agar rakyat tidak cepat melatah dah terus-menerus menyalahkan individu atau golongan tertentu khususnya ahli politik susulan kes COVID-19 yang kian meningkat di negara ini.

Katanya lagi, trend menuding jari dan menyalahkan satu sama lain dilihat semakin membimbangkan di media sosial, tanpa mengambil kira perasaan dan situasi sebenar yang dihadapi oleh mereka yang dijangkiti wabak berkenaan.

“Saya harap rakyat tidak panik. Saya nampak di media sosial ada yang marah pada orang politik. Sebenarnya virus ini tak pilih sama ada dia tu Presiden Amerika ke, orang biasa ke, dia (virus) tak pilih.
“Bukan salah segolongan orang itu. It can go to anybody. Jadi yang pentingnya, setiap kita perlu menjaga SOP itu,” ujar beliau.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada Selasa.

Dalam perkembangan berasingan, ditanya sama ada Perak akan turut mengikut jejak langkah beberapa negeri seperti Kedah dan Sabah dalam memperketatkan aktiviti sosial dan perniagaan, beliau berkata ia hanya akan dilaksanakan jika ada keperluan.

Katanya lagi, Perak akan terus mengikut prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pegerakan Pemulihan (PKPP) selain meminta rakyat untuk terus mengikut SOP yang disarankan oleh kerajaan.