KUALA LUMPUR:Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran bagi jumlah pengunjung untuk duduk semeja di kedai makan.

Kelonggaran itu, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah tiada lagi had tempat duduk kepada pengunjung yang mahu membawa keluarga misalnya untuk makan di restoran.

Bagaimanapun, kebenaran yang diberikan itu, kata Ismail Sabri, masih lagi terikat dengan syarat mengikut saiz meja serta memenuhi penjarakan sosial.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas prosedur operasi standard (SOP) penumpang dalam kenderaan dilonggarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita dapati ada rungutan daripada banyak pihak selepas kita beri kelonggaran penumpang dalam kenderaan. Ini kerana ada keluarga yang keluar makan di kedai namun, tidak boleh duduk di meja bersama.

"Sebagai contoh di kedai Cina, kebiasaannya meja yang digunakan adalah meja bulat dan ia boleh memuatkan sehingga enam orang. Jadi kita beri kelonggaran ini selagi ia memenuhi penjarakan fizikal," katanya dalam sidang media pada Rabu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan bahawa kelonggaran khusunya perjalanan rentas negeri bukanlah ‘lampu hijau’ untuk mengambil mudah dengan jangkitan COVID-19.

"Kerajaan telah memberi kelonggaran bermula 7 Disember lalu untuk pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun ia bukanlah ‘lampu hijau’ untuk kita alpa kerana kelonggaran ini bukan bermakna pandemik COVID-19 sudah berakhir.

"Jadi, kita harus terus patuh mengikut SOP. Kejayaan untuk melawan COVID-19 sangat penting dan dengan cara mematuhi SOP selain terus menjaga keselamatan diri sahaja yang mampu mengubah keadaan menjadi lebih baik," ujar beliau lagi.