KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju mengekalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kesemua 10 jajahan atau daerah di negeri Kelantan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu susulan kes jangkitan di negeri itu yang semakin meningkat.

"Di atas penilaian risiko KKM, bagi negeri Kelantan,  kesemua 10 Jajahan atau daerah iaitu Bachok, Jeli, Kota Bharu, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Gua Musang menunjukkan kadar insiden yang semakin meningkat, oleh itu terus kekal PKP," katanya dalam satu sidang media pada Selasa.

Pada masa sama, lima negeri dikekalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Selain itu, status negeri Sabah bertukar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada PKPB berikutan zon hijau semakin berkurang dan zon merah meningkat serta 33 lokaliti sedang dilaksanakan PKPD. 

Sembilan negeri dan wilayah persekutuan dikekalkan status PKPP iaitu Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Putrajaya dan Labuan.

Mengulas lanjut, katanya seluruh Perlis kini berada dalam zon hijau, manakala Kedah menyaksikan insiden kekal rendah, zon merah dan jingga berkurang, zon kuning bertambah, kecuali PKPB di Kuala Muda yang masih zon merah.

"Perak (insiden kekal rendah, zon hijau bertambah dan zon merah berkurang), Melaka (insiden kekal rendah dengan pertambahan zon kuning), Negeri Sembilan (kadar insiden menurun dengan peningkatan zon hijau, kecuali PKPB di Daerah Seremban yang masih zon merah).

"Pahang (insiden tidak stabil dan zon hijau serta kuning berkurang), Terengganu (insiden stabil, zon hijau bertambah, zon merah dan kuning berkurang), Putrajaya (tiada zon merah) dan Labuan (insiden tidak stabil dan tiada zon hijau)," katanya.

Beliau berkata, pengekalan status PKP, PKPB dan PKPP bagi negeri-negeri ini akan berkuat kuasa bermula 29 April 2021 sehingga 17 Mei 2021 kecuali Sarawak yang bermula 27 April sehingga 17 Mei 2021.

"Seperti SOP yang lepas, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP melalui konsep green travel bubble menggunakan syarikat dan agen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC," ujarnya. 

Pergerakan rentas daerah kecuali Sabah dan Sarawak pula atas keputusan kerajaan negeri, katanya.