Organisasi yang dikesan kes positif COVID-19 dinasihatkan supaya tidak perlu membuat penutupan pejabat.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia memadai dengan mengambil langkah pencegahan dan menjalankan disinfeksi.

Dr Noor Hisham juga berharap semua pihak dapat bertenang dan memberikan kerjasama kepada KKM dengan memberikan maklumat yang tepat apabila dihubungi.

“KKM berharap semua pihak dapat bertenang dan sentiasa bekerjasama dengan memberi maklumat yang tepat apabila dihubungi atau dikenal pasti sebagai kontak rapat.

“KKM juga ingin menasihatkan organisasi yang dikesan kes positif agar tidak perlu membuat penutupan pejabat, namun memadai menjalankan disinfeksi.


“Pada masa yang sama, semua pihak diminta tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam,” kata Dr Noor Hisham dalam satu sidang media pada Rabu.

Pada awal hari ini, Felcra Berhad mengeluarkan arahan kepada semua kakitangan untuk bekerja dari rumah susulan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Syarikat telah disahkan positif COVID-19.


Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, buat masa ini, keadaan terkawal dan tiada simptom ditemui dalam kalangan kakitangan.

“Semua aktiviti dan operasi di peringkat ibu pejabat telah dihentikan serta-merta bermula hari ini, 4 Mac 2020 sehingga Jumaat, 6 Mac 2020 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh,” kata Mohd Nazrul menerusi satu kenyataan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu mengesahkan 14 lagi kes baharu positif COVID-19 dan kesemua kes terbabit merupakan kontak rapat kepada kes-26.

Ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 50 kes.