KUALA TERENGGANU: Jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di daerah Besut meningkat kepada 14 kes selepas tiga kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata dalam tempoh April hingga Jumaat lalu juga sebanyak 1,201 kes positif COVID-19  direkodkan di daerah itu.

Katanya semua kes positif itu dikesan hasil ujian sebanyak 16,764 dengan kadar positif lebih tujuh peratus dan menunjukkan masih banyak kes di dalam komuniti yang perlu dikesan

"Menerusi itu ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1,900 peratus berbanding hanya  60 kes pada Mac  lalu dan situasi COVID-19 di Besut disumbangkan dua kluster besar.

"Kluster Tok Has yang bermula di sebuah kafe merebak ke pusat senaman, bank, beberapa buah sekolah dan akhirnya masuk ke komuniti sehingga ke Setiu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dan menghasilkan sebanyak 474 kes positif dan ia masih berkembang pesat," katanya dalam catatan terbaharu di akaun Facebook miliknya.

 
Sumber Facebook nabila.annajat

Manakala Kluster D' Lahar bermula daripada pekerja sebuah syarikat akhirnya merebak ke dalam komuniti dan menghasilkan 152 kes positif.

Beliau berkata terdapat dua lagi kluster baharu iaitu Kluster Tok Dor yang membabitkan sebuah pondok pengajian dan Kluster Jalan Tuan Hitam yang membabitkan sebuah pasar raya.

Jelasnya Kluster Tok Dor yang merekodkan 32 kes positif sudah menular ke Setiu dan Kuala Nerus manakala bagi Kluster Jalan Tuan Hitam pula, 44 daripada 97 pekerja sebuah pasar raya dikesan positif dalam tempoh satu minggu.

Justeru itu Nor Azimi meminta penduduk kekal duduk di rumah, mengehadkan pergerakan, mengelak berkumpul beramai-ramai dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana ini sahaja mampu memutuskan rantaian jangkitan COVID 19.

Katanya ketika ini masih terdapat lima penduduk Besut yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Terdahulu sebanyak 15 mukim di Besut dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dari 22 Mei hingga 4 Jun.