KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) dijangka menerima suntikan vaksin pada Fasa Keempat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Ketua Pengarah, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kesemua PATI itu akan diberikan suntikan satu dos setiap orang menggunakan vaksin daripada beberapa syarikat.

“Bagi vaksin satu dos, kita ada dua dalam pasaran, iaitu Cansino Biologics Inc dan Johnson & Johnson (J&J) dan ia sesuai digunakan untuk PATI dan pekerja asing.

"Kalau kita asingkan satu golongan divaksin, manakala satu lagi tidak (PATI), maka program imunisasi kita tidak akan berjaya.

“Kalau kita lihat kepada penyakit berjangkit, kalau kita tidak beri penyakit berjangkit kepada mereka yang duduk dalam komuniti kita, kita juga akan dijangkiti.

“Kita lihat masalah ini yang contohnya berlaku di Sabah, kalau kita tidak berikan vaksinasi kepada golongan PATI ini, setiap hari ada 10,000 orang keluar masuk dan ini akan menjangkiti komuniti kita,” ujar Dr Noor Hisham.

BACA: COVID-19: Golongan berisiko anafilaksis tidak digalakkan divaksin - KKM 

BACA: KKM akan tingkatkan ujian saringan kepada 100,000 sehari 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan buat masa ini mengandungi tiga fasa yang mana fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021.

Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 dan akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi.

Fasa Ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Februari 2022.

Semua berita vaksin COVID-19