KUALA LUMPUR: Gelembung industri boleh dilaksanakan untuk memastikan kluster tempat kerja tidak menjadi penyebab jangkitan meningkat secara mendadak.

Menurut Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brigedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen, pemulihan negara tidak hanya tertumpu kepada pemeliharaan sistem kesihatan awam, malah termasuk juga faktor ekonomi.

“Ini sangat penting dalam ‘lives vs livelihood’.

"Jika kita kuarantin satu rumah bagaimana makanan dan keperluan yang lain?

"Dalam pemulihan negara mengekang COVID-19, kita perlu lihat daripada sudut ekonomi.

“Jika kita nak juga buka industri kerana ekonomi buruk, ada pelbagai cara boleh dilakukan seperti melaksanakan gelembung industri yang selamat di mana mereka yang bekerja ini duduk bersama mereka sahaja.

“Pengangkutan dan tempat tinggal khas disediakan, tempat mereka bekerja dikawal, diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP).

"Ini sebagai contoh kerana rakyat marah kluster tempat kerja meningkat disebabkan industri masih beroperasi,” katanya dalam Program AWANI Pagi, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Arshil turut memberi contoh strategi dilakukan di negara maju dan moden dalam menangani kluster tempat kerja.

“Di negara-negara maju, jika kilang itu terdapat kes positif mereka akan biarkan saja bekerja sesama mereka di dalam kilang berkenaan, tetapi perlu ‘contain’ (kawal) kilang itu dengan tidak membenarkan pergerakan keluar masuk.

“Ini sukar dilakukan tetapi ia boleh dilaksanakan sekiranya mempunyai perancangan logistic dan strategi yang baik,” ujarnya.