PUTRAJAYA: Sebanyak 2,063 kes baharu dilaporkan bagi tempoh 24 jam yang laku menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 307,943 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu terdapat sebanyak sembilan kes import manakala selebihnya merupakan penularan tempatan.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 telah menjadi sebanyak 23,161 kes,” katanya pada sidang media hariannya pada Khamis.

Sementara itu, kes kematian baharu akibat pendamik itu mencatat pertambahan sebanyak lima kes menjadikan keseluruhan kes kematian kini sebanyak 1,153 kes.

Mengenai penularan mengikut negeri, Dr Noor Hisham memaklumkan, Selangor masih kekal negeri tertinggi pertambahan kes harian iaitu sebanyak 630 kes diikuti Sarawak, 361 kes dan Pulau Pinang, 337 kes.

Setakat ini, sebanyak 193 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 99 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah keseluruhan kes sembuh kini telah meningkat sebanyak 283,929 kes berikutan pertambahan kes sembuh hari ini sebanyak 2,922 kes.





Kes-kes baharu mengikut negeri lain pula Johor dengan 255 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (120), Perak (101), Negeri Sembilan (91), Sabah (78), Kelantan (44), Pahang (13) dan Kedah (12).

Bagi perkembangan kluster baharu, beliau berkata sebanyak 14 kluster lagi dikesan hari ini dengan 12 daripadanya melibatkan tempat kerja manakala dua lagi masing-masing melibatkan kumpulan berisiko tinggi dan komuniti.

"Lima kluster tempat kerja dikesan di Selangor iaitu Kluster Jalan Bukit Tiga, Kluster Jalan Damansara, Kluster Industri Subang, Kluster Jasmine Empat dan Kluster Lagenda Suria. Di Johor, empat kluster tersebut dikesan iaitu Kluster Jalan Distripark B6, Kluster Jalan Maju Satu, Kluster Jalan Kabel Gemilang dan Kluster Batu 21," katanya.

Tambahnya di Pulau Pinang pula dua kluster tempat kerja dikesan iaitu Kluster Tapak Bina Queens Waterfront dan Kluster Jalan Bukit Nenas, manakala di Negeri Sembilan ia melibatkan Kluster Tapak Bina Nilam Sari.

Katanya lagi, bagi kluster komuniti dan kluster kumpulan berisiko kedua-duanya dikesan di Johor iaitu masing-masing Kluster Jalan Limau Manis dan Kluster Persiaran Kempas Baru.

[SIDANG MEDIA] Perkembangan penularan jangkitan kes COVID-19 - 04 Mac 2021