KUALA LUMPUR:Sebanyak 293 kes baharu COVID-19 dilaporkan sehingga 4 Oktober 2020 jam 12:00 tengah hari. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, ia melibatkan 292 kes tempatan dan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 12,381 kes. 

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,961 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Daripada 292 kes penularan di dalam negara, 269 kes melibatkan warganegara Malaysia dan 23 kes adalah bukan warganegara.

"Daripada 292 kes tersebut juga, sebanyak 30 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah. Ini
menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 206 kes," ujarnya lagi. 

Kes penularan COVID-19 dalam negara melibatkan 126 kes (Sabah), 113 kes (Kedah), 31 kes (Selangor), lapan kes (Johor), lima kes (Wilayah Persekutuan Labuan), masing-masing dua kes (Kuala Lumpur, Perak, dan Negeri Sembilan) serta masing-masing satu kes (Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak).

Satu kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan warga Bangladesh dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan saringan sign-on.

Selain itu, terdapat 67 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 10, 283 iaitu 83.05 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam pada itu, tiada kes baharu kematian melibatkan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 137 kes (1.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat 28 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.