KUCHING: Kira-kira 428 pelajar melibatkan 32 sekolah di Sarawak tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Ini kerana 414 orang pelajar menetap di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala selebihnya disahkan positif COVID-19.

Perkara ini disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 di Kuching.

“Hari ini seramai 428 orang pelajar daripada 32 buah sekolah di seluruh Sarawak yang tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 414 pelajar dan 14 pelajar lain merupakan kes positif COVID-19.

“Daripada jumlah tersebut, 205 orang adalah pelajar lelaki dan 223 orang pelajar perempuan,” kata Uggah.

Terdahulu, 35,312 pelajar di Sarawak dijadual menduduki peperiksaan SPM 2020 yang bermula 22 Februari hingga 25 Mac 2021.

Daripada jumlah itu, 33,064 pelajar atau 93.63 peratus merupakan calon sekolah aliran perdana dan 942 orang atau 2.67 peratus adalah calon sekolah swasta.

Manakala 361 orang atau 1.02 peratus pula merupakan calon sekolah di bawah agensi selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 945 orang atau 2.68 peratus adalah calon persendirian.

Calon-calon berkenaan akan ditempatkan di 294 pusat peperiksaan dan diawasi 226 orang penyelia kawasan  2,566 pengawas peperiksaan.