KUALA LUMPUR :Sejumlah 563 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam dengan hampir 52 peratus daripadanya membabitkan jangkitan di Sabah manakala 25 peratus lagi di Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes mencecah 16,220 dengan 5,039 kes aktif.

"Daripada 563 kes hari ini, Sabah masih mencatat jumlah kes harian tertinggi iaitu 291 kes, namun ianya rendah berbanding semalam iaitu 488 kes.

"Pulau Pinang mencatat lonjakan jumlah kes positif iaitu sebanyak 141 kes, namun kesemuanya adalah daripada Kluster Penjara Reman di mana semua kes ini sememangnya terasing daripada masyarakat iaitu di dalam penjara," katanya dalam sidang akhbar menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menjelaskan, daripada keseluruhan kes baharu hanya satu kes mendapat jangkitan dari luar iaitu Indonesia yang dilaporkan di Kuala Lumpur melibatkan warga tempatan.

Sementara itu katanya, daripada 562 kes penularan di dalam negara, 498 kes adalah warganegara Malaysia dan 64 kes adalah bukan warganegara.

"Daripada 562 kes penularan di dalam negara, 10 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September sebanyak 363 kes," tambahnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, dua kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah 159 kes, bersamaan satu peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga kini, terdapat 98 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan," ujarnya.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:

• Sabah: 291 kes

o 28 kes daripada kluster-kluster sedia ada
o Empat kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kolong
o 259 kes daripada lain-lain saringan COVID-19


• Pulau Pinang: 141 kes daripada Kluster Penjara Reman


• Selangor: 69 kes

o 57 kes daripada kluster-kluster sedia ada
o Enam kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19
o Satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Tropicana
o Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah)
o Empat kes daripada lain-lain saringan COVID-19


• Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 27 kes

o 10 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Baiduri
o Lapan daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Perdana
o Empat kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Kasturi
o Dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah)
o Dua kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19
o Satu kes daripada Kluster Sungei Way.


• Negeri Sembilan: 12 kes

o Empat kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah)
o Tiga daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19
o Dua kes daripada Kluster Buang Sayang
o Satu kes daripada Kluster Selasih
o Dua kes daripada lain-lain saringan COVID-19


• Kedah: 10 kes

o Lima kes daripada Kluster Tembok
o Tiga kes daripada Kluster Bah Ketil
o Dua kes daripada Kluster Bah Sintok


• Perak: Empat kes

o Dua kes daripada Kluster Tembok
o Dua daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19


• Johor: Dua kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Rinting


• Wilayah Persekutuan Putrajaya: Dua kes

o Satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Kasturi
o Satu kes daripada Kluster Selasih


Wilayah Persekutuan Labuan: Dua kes

o Satu kes daripada Kluster Bah Bundle
o Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah)
• Sarawak: Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah)


Melaka: Satu kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19


BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)