KUALA LUMPUR: Malaysia terus merekodkan kes harian melebihi 7,000 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sejumlah 7,452 kes baharu dilaporkan dengan kumulatif kes kini adalah 610,574 kes.

Daripada jumlah itu, 7,444 merupakan kes tempatan sementara lapan lagi merupakan kes import.

Dalam kemas kini di media sosial, Dr Noor Hisham berkata Selangor menjadi negeri merekodkan kes harian tertinggi, 2,509 kes.

Negeri Sembilan pula dengan 843 kes, diikuti Kuala Lumpur (678) dan Sarawak (651).

Sementara itu, jumlah kematian terus merekodkan tiga digit iaitu 109 kematian.

Ia menjadikan kumulatif kes kematian ketika ini adalah sebanyak 3,291 kes.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sejumlah 85,607 kes aktif direkodkan selepas 6,105 kes sembuh dilaporkan.

Kes yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) pula adalah 886 kes dengan 446 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Berikut pecahan mengikut negeri:

Selangor - 2,509 (199,968)
Negeri Sembilan - 843 (29,416)
WPKL - 678 (62,502)
Sarawak - 651 (50,571)
Johor - 412 (60,978)
Pulau Pinang - 370 (30,482)
Kelantan - 312 (29,872)
Pahang - 286 (10,571)
Kedah - 263 (20,327)
Sabah - 259 (63,565)
Perak - 252 (22,252)
Melaka - 206 (13,306)
WP Labuan - 205 (4,540)
Terengganu - 190 (9,713)
Putrajaya - 12 (1,976)
Perlis - 4 (535)