KUALA LUMPUR: Seorang anak yang juga merupakan doktor perubatan kini reda dan tabah dengan pemergian bapanya selepas beberapa hari ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menerima rawatan COVID-19.

Apa yang menyayat hati adalah anaknya, Dr Sakinah Kamarul Bahrin sempat membantu bapanya, Ir Kamarul Bahrin Mohamad, 63, untuk berwuduk sebelum ditempatkan ke ICU.

Melalui video yang dimuat naik di laman Instagram @sakinah_kb, Dr Sakinah memaklumkan, ia merupakan permintaan Allahyarham beberapa minit sebelum ditempatkan ke ICU.

"Abah reda dengan semua keputusan dan kebenaran yang Nor tandatangan ni?" tanya Dr Sakinah kepada Allahyarham dalam kapsyen di Instagram sebelum dibawa ke wad ICU.

Beliau menjelaskan, abahnya mengangguk sahaja kerana tidak mempunyai nafas yang cukup untuk menjawab.

Namun sempat mengharapkan doa daripada orang ramai.

"Tolong panjatkan doa buat ayah/tok ye," kata Allahyarham dalam video berkenaan.




Kondisi Allahyarham, jelas Dr Sakinah, semakin merosot sejak beberapa hari lalu sehingga memaksa dibawa ke unit ICU.

Jika sebelum ini, ibunya turut ditempatkan dalam wad bersama dengan Allahyarham namun terpaksa berpisah.

Video berkenaan mendapat lebih satu juta tontonan dan ribuan komen serta doa daripada masyarakat.

Difahamkan, Allahyarham mula dikenal pasti positif COVID-19 pada 7 Mei lalu setelah mempunyai simptom dan mula ditempatkan di wad ICU sejak Jumaat lalu.

Ibunya juga difahamkan turut didapati positif serta enam lagi ahli keluarganya.


Tangkap layar dari Instagram @sakinah_kb gambar kenangan beliau bersama Allahyarham dan ibunya

Dalam hantaran berasingan di laman Instagramnya, Dr Sakinah turut mengingatkan bahawa COVID-19 ini adalah wujud dan menasihatkan agar menjaga penjarakan fizikal supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti virus membunuh ini.