KUALA LUMPUR:Terdapat dua lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 dikenali sebagai Kluster Bah Puchong dan Kluster Penjara Reman, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Kluster Bah Puchong dikenal pasti di Petaling, Selangor; Larut, Matang dan Selama serta Kinta, Perak. 

Seramai tiga individu melibatkan kluster itu disahkan positif pada 5 Oktober lalu, diikuti dua kes selepas itu. 

“Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-13061, kes ke-13065 dan kes ke-13069) dikenal pasti positif pada 5 Oktober hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi kes positif COVID-19 di Perak iaitu di daerah Larut, Matang dan Selama, serta daerah Kinta, dikenal pasti.

"Mereka telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 39 individu telah disaring.

BACA: COVID-19: 489 kes baharu, tiada kematian dilaporkan hari ini

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)

Sementara itu, bagi Kluster Penjara Reman pula, telah dikenal pasti di daerah Timur Laut, Pulau Pinang melibatkan kes kematian ke 141.

Menurut Noor Hisham, kes berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara berusia 85 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri dalam penjara pada 5 Oktober sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

“Saringan COVID-19 dijalankan pada hari sama dan saringan kontak rapat mendapati enam lagi didapati positif COVID-19 pada 6 Oktober.

“Semua kes ini melibatkan warganegara dan telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 10 kluster aktif COVID-19 mencatatkan pertambahan kes hari ini dengan Kluster Tembok kekal mencatatkan pertambahan tertinggi dengan 139 kes baharu.

Selain itu, kluster lain yang mencatatkan pertambahan kes adalah Kluster Bah Sintok (14 kes); Kluster Jalan Meru (empat kes); Kluster Laut (dua kes); Kluster Benteng PK (dua kes); Kluster Selasih (dua kes); serta Kluster Bah Tanjung dan Kluster Embun masing-masing catat satu kes baharu.